Assalamualaikum Doctor Cuti Hari Ini???

“Assalamualaikum doktor. Cuti hari ini?””Waalaikumsalam. Ya, hari ini off,” jawabku. Ku senyum pada si penanya. Hairan. Neuronku gagal mengingat siapa dan di mana kami pernah berjumpa.

“Saya agak dah. Ini, budak yang doktor jahit luka didagu dah sekolah darjah 2 sekarang,” katanya lagi.

Aku tersenyum mengiyakan. “Makin comel,” jawabku merujuk anak perempuannya.

“Ha ha ha. Ikut ibunya doktor. Lagipun bekas jahitan dahulu pun dah tiada kesan. Terima kasih doktor. Kalau tidak saya terpaksa beri diskaun wang hantaran kahwinnya bila dewasa nanti. Saya pergi dulu,” kata lelaki itu memimpin anak perempuannya yang comel.

Langsung tidak ku ingat siapa. Kedua-dua ayah dan anak. Tapi aku layankan juga. Biasanya pesakit yang saya rawat berbeza perwatakan dan pembawakan diri diluar. Semasa menjadi pesakit kusut masai,berlumuran darah, bengkak muka, berkain batik, lemah dan tidak berdaya. Memanglah berbeza apabila mereka telah sihat. Ada yang ranggi, bergaya, gembira tiada duka.

Kadangkala timbul rasa bersalah “berpura-pura” kenal apabila disapa. Ikutkan kata hati hendak saja saya akui, “Maaf, saya tidak ingat awak.”

Sehinggalah …..

“Encik Kay, tahniah. Dengar cerita tuan telah menulis buku baru,” kataku yang teruja dapat berjumpa penulis buku idolaku.

“Terima kasih. Ya. Tajuk bukunya Engkau Tidak Ku Kenal. InsyaAllah bulan Ogos ini akan diterbitkan,” jawab Encik Kay.

“Oh. Sebenarnya Encik Kay kita dah dua kali berhubung melalui FB Messenger. Sayalah orang yang meminta nasihat penulisan tentang posting membawa ubat di hari raya tu,” kataku cuba memperkenalkan diri.

Berkelip-kelip mata Encik Kay memandangku. “Doktor Tuah?” teka Encik Kay. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Encik Kay memandangku. Mungkin cuba mengingat. 7 saat berlalu. Suasana krikk… krikk…

“Saya pergi dulu En Kay,” kataku meminta diri. Kesipuan aku. Rasa ditolak. Mungkin ini perasaan mereka yang di ‘friend zone’ oleh cinta hati mereka.

Maka sejak itu, saya berpegang untuk “berpura-pura” kenal. Walaupun tiada memori tentang seseorang demi mengelakkan suasa tidak kena dan menjaga air muka orang yang menyapa. Cuma satu perkara. Jangan tanya, “Doktor masih ingat saya?”

(Visited 55 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *