Jangan Nagi Kiamat Itu Kecil

Jangan Nafi Kiamat Kecil.

“Doktor, apa sakit saya? Kenapa saya masih sakit dada? Nak bernafas pun rasa berat ni,” tanya Encik Amir. Beliau adalah lelaki berumur dalam lingkungan 45 tahun yang merupakan perokok tegar sejak 25 tahun lalu.

Dr Akmal merenung kertas ECG kepunyaan Encik Amir. Bukti serangan jantung jelas terpapar di kertas ECG tersebut.

“Encik terkena serangan jantung yang serius ni. Ada sumbatan pada salur darah di jantung encik. Encik Amir ada mengalami sebarang tanda seperti sakit atau tidak selesa pada dada sebelum ini?” tanya Dr Akmal.

“Errr, takde doktor. Saya okay sebelum ni. Merokok pun saya dah kurang dalam minggu ni. Biasanya 20 batang sehari, sekarang cuma 10 batang sahaja,” nafi Encik Amir umpama cuba mempertahankan diri.

“Jarang perokok tegar tiba-tiba dapat kurangkan tabiat merokok. Cuba Encik Amir ingat kembali. Apa sebenarnya yang berlaku sebelum ini,” pinta Dr Akmal.

Encik Amir merenung lampu di Zon Merah, Jabatan Kecemasan & Trauma. Memang sejak 3 minggu lalu, dia kerap merasa tidak selesa di dada. Cuma biasanya rasa tidak selesa itu seketika sahaja kemudian akan hilang. Rasa tidak selesa itu berulang hinggakan semakin kerap dan karakter berubah daripada tidak selesa kepada rasa berat di dada yang ada masanya merebak ke lengan kiri beliau. Beliau menganggap ia kesan merokok, sebab itu beliau cuba kurangkan kuantiti rokok. Itupun kerana rakannya menunjukkan Facebook Dr Rafidah Abdullah menceritakan kaitan rokok dan masalah buah pinggang.
____________________________________________

“Doktor, keadaan suami saya akan pulih ke?” Pertanyaan daripada Puan Dilla berkenaan suami yang menikahinya sejak 15 tahun dahulu.

“Pada masa ini keadaan Encik Amir masih kritikal. Selepas selesai pemberian ubat Streptokinase ini baru saya boleh komen keadaan beliau,” terang Dr Akmal kepada Puan Dilla.

“Dr Akmal! Pesakit VT!!!”
____________________________________________

30 minit berlalu. Bertungkus-lumus petugas di Zon Merah melakukan resusitasi. Bersilih ganti melakukan CPR.

Dr Akmal kecewa. Dia gagal menyelamatkan Encik Amir. Meraung Puan Dilla apabila menerima perkhabaran tersebut. Dia kehilangan tempat bergantung.

Ramai pesakit yang sebelum mendapat serangan jantung mengejut, akan didatangani tanda-tanda serangan jantung yang ringan.

Tidak selesa di dada atau sakit dada seketika yang kebanyakkan akan hilang dengan rehat adalah tanda sedang berlaku sumbatan salur darah dijantung. Ketika ini jika anda ke klinik atau hospital, ujian ECG akan dilakukan. Pemeriksaan kencing manis, darah tinggi dan tahap kolestrol akan dilakukan. Ubat-ubatan untuk mengurangkan risiko darah beku dan sumbatan salur darah jantung. Kemasukan ke hospital juga mungkin jika rawatan lebih rapi diperlukan.

Sakit dada atau dada tidak selesa adalah petanda sesuatu yang serius bakal berlaku. Jangan berlengah mendapatkan rawatan.
______________________________________________

“Dr Akmal. Ada pelawat ingin bertanyakan tentang Encik Amir tadi,” maklum Jururawat Sheila.

“Benarkan dia masuk sementara saya menguruskan dokumen kematian tadi,” pinta Dr Akmal.

Tergamam Dr Akmal. Seorang wanita dalam lingkungan 20 an bersama seorang anak kecil berjalan ke arahnya. Wanita bertudung hitam itu seiras Fazura sekali pandangan.

“Doktor, saya ingin bertanyakan keadaan suami saya. Tadi ada rakan suami menelefon memberitahu suami mengalami sakit dada dan datang ke sini,” tanya wanita itu.

“Setakat ini cuma satu kes sakit dada sahaja saya terima Puan. Siapa nama suami Puan?” tanya Dr Akmal. Mungkin wanita ini datang ke hospital yang salah fikirnya.

“Nama suami saya Muhammad Amir bin Muda,” jawab wanita tersebut.

Encik Amir?!

*VT= Ventricular Tachycardia. Ritma jantung laju dengan morfologi tidak normal.

(Visited 62 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *